Sunday, 15 August 2010

Nailu Raja : Kalam Penulis dan Muqaddimah

Kalam Penulis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kami memanjatkan setinggi-tinggi pujian kepada Engkau Ya Allah, wahai Tuhan yang menyucikan para hamba Engkau, daripada kalangan mereka yang Engkau memberi petunjuk untuk mereka bertafaqquh fiddiin. Kami bersyukur kepada Engkau di atas apa yang Engkau ajarkan kami, tunjukkan kami dan memperbetulkan kami. Kami memohon kepada Engkau selawat dan salam kepada ketua segala Rasul, Nabi Muhammad SAW yang benar dan jujur, dan juga ke atas para ahli keluarga baginda yang umpama kapal-kapal penyelamat, dan para sahabat mereka yang diberi hidayah.

Maka sesungguhnya kitab yang dijadikan silibus di sesetengah maahad (sekolah) ‘ilmiyah di Bandar Tarim Al Muhammadiah adalah pengajian kitab Safinatun Naja (Bahtera Penyelamat) untuk peringkat permulaan di kalangan kanak-kanak kecil . Beberapa orang daripada kalangan mereka yang berjasa dan alim telah meminta aku untuk menulis syarah yang mudah bagi kitab ini, dengan menggunakan tariqah mereka yang terdahulu yang ideal dan mengelakkan syarah yang panjang serta mendalam. Juga diharapkan ianya terhad kepada apa yang diungkap di dalam kitab. Ini sebagai latihan kepada para pelajar untuk mereka mengungkapkan apa yang mereka dapat fikirkan berdasarkan kefahaman dan makna-makna yang mereka peroleh.

Maka aku terima permintaan mereka dan menghasilkan apa yang mereka minta. Lalu aku menulis syarah yang diharapkan boleh digunakan untuk jangka masa yang lama, yang terkandung di dalamnya ungkapan yang mudah difahami di merata tempat. Namun, aku mungkin ada menambah di dalamnya syarah yang berperingkat tinggi untuk menerangkan kepada kamu sesuatu yang lebih tinggi agar kamu mendapat manfaat yang lebih umum dan faedah yang lebih sempurna, insyaAllah Taala. Maka aku namakan kitab ini dengan nama :

نيل الرجاء بشرح سفينة النجاء

Semoga Allah menjadikan penulisan ini ikhlas hanya keranaNya, amin.





بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Huruf ب adalah untuk مصاحبة (pendampingan) juga bertujuan untuk mengambil keberkatan. Manakala الاسم adalah terbitan daripada kalimah السمو iaitu kemuliaan. Kalimah الله pula bermaksud satu nama yang merujuk kepada suatu zat yang wajib baginya wujud dan ianya berhak bagi segala sifat kesempurnaan. Kalimah الرحمن bermaksud pemberi nikmat bagi segala jenis nikmat dan kalimah الرحيم bermaksud pemberi nikmat bagi beberapa jenis nikmat sahaja.

Maka, makna sepenuhnya adalah : Dengan pendampingan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, aku menulis kitab aku ini untuk mendapat keberkatan.

Penulis memulakan kitabnya dengan Basmallah kerana mencontohi Al Quran dan beramal dengan hadith Rasulullah SAW
(( كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم ....... فهو أقطع )) , وفي رواية : (( أبتر )) , وفي أخرى : (( أجذم )) .

Makna kalimah ( ذي بال ) adalah sesuatu perkara yang berkepentingan syarak seperti menulis kitab yang bermanfaat. Kalimah ( أقطع ) adalah terpotong sebelah tangan atau kedua-dua belah tangan dan kalimah ( أبتر ) adalah terpotong ekor dan kalimah ( أجذم ) adalah ditimpa penyakit kusta , iaitu penyakit yang menjadikan kulit merah, kemudian hitam, lalu merekah dan gugur, semoga Allah menjauhkan kita daripadanya.

Maksud yang ingin disampaikan daripada perumpamaan ini adalah : tidak membaca Basmallah adalah satu kekurangan dan hilang barakah.

Hukum bgi bacaan Basmallah terbahagi kepada 5 :
• Pertama : Wajib, seperti di dalam solat .
• Kedua : Haram, ketika melakukan perkara haram lizzatihi .
• Ketiga : Sunat, setiap perkara yang berkepentingan, iaitu hal yang dipentingkan oleh syarak seperti berwudhu dan menulis kitab yang bermanfaat beperti yang disebut di atas.
• Keempat : Makruh, ketika melakukan perkara yang makruh lizzatihi seperti melihat perkara yang dimakruhkan untuk dilihat.
• Kelima : Harus, ketika melakukan semua perkara harus yang tiada kemulian padanya seperti mengalihkan sesuatu dari satu tempat ke tempat yang lain.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
10.00 pm, 15 Ogos 2010
Kg Umbai, Melaka.

Read more...

Saturday, 27 March 2010

Hasyiah Baijuri : Perkara Yang Dikira Sebagai Najis

قال المصنف والشارح والمحشي رحم الله تعالى ونفعنا به وبعلومه وبعلوم مشائخنل في الدارين أمين

Setelah kita mengetahui berkenaan takrifan najis pada coretan yang lepas, pada kali ini perbahasan kitab Hasyiah Baijuri menyambung perbincangan berkenaan perkara yang dikira sebagai najis oleh syarak.

Di dalam matan Fathu Qorib (kitab yang disyarahkan oleh kitab Hasyiah Baijuri), dikatakan bahawa ‘setiap maie’ (perkataan lawan kepada al maa) yang keluar dari dua jalan adalah najis’.

Kalimah ‘maie’ مائع adalah merupakan kalimah yang berlawanan maksud dengan air mengikut takrifan kalimah الماء di dalam Bahasa Arab. Jika maksud al maa adalah air yang tidak dikaitkan dengan apa-apa nama lain, maka maie’ adalah sebaliknya.

Jika sesuatu cecair yang bila dilihat sahaja oleh orang Arab dan ia tidak dipanggil al maa, maka itulah dikatakan sebagai maie’. Sebagai contoh air kosong dipanggil sebagai al maa oleh orang Arab. Adapun jika air itu sudah dibancuh dengan serbuk teh dan menjadi air teh, maka ia adalah maie’ yang dinamakan sebagai syai الشاي oleh orang Arab.

Antara contoh lain yang dipanggil maie’ adalah air mani, air kencing, air buah, air kopi, air milo dan apa jua cecair yang tidak dipanggil al maa. Adapun, air laut tergolong di dalam al maa kerana qaid yang diletakkan iaitu ‘air laut’ itu bukanlah qaid yang menghalang air laut dikenali sebagai al maa.

Sebagai contoh, jika air laut diletakkan di dalam satu bekas dan ditunjukkan kepada orang Arab, orang Arab masih memanggilnya dengan nama al maa. Ini menunjukkan air laut itu mempunyai qaid dengan nama lain tetapi qaid itu masih tidak menghalang untuk kita mengenalinya sebagai al maa.

‘Keluar dari dua jalan’ yang dimaksudkan adalah sesuatu yang keluar dari salah satu dari qubul dan dubur. Qubul ditakrifkan sebagai lubang kemaluan hadapan dan dubur sebagai lubang kemaluan belakang. Jika maie’ keluar dari jalan (lubang) lain seperti liang peluh, mata, mulut dan hidung, ia adalah tohir walaupun mungkin ianya mustaqzar (menjijikkan).

Namun, ada pengecualian kepada muntah yang keluar dari mulut selepas makanan masuk di dalam perut, ia tetap dikira najis walaupun makanan yang dimuntahkan itu tidak berubah (masih berbentuk asal seperti butir nasi) dan walaupun ia dimuntahkan sejurus selepas makanan itu masuk ke dalam perut. Adapun jika muntah yang keluar itu adalah benda yang keras seperti tu tulang, maka ia bukanlah najis tetapi sekadar mutanajjis.

Bagi masalah air liur yang meleleh ketika tidur, ia dikira tohir selagi kita yakin air liur itu bukan daripada perut. Jika air liur yang meleleh itu berbau dan berwarna kekuningan, ia dikira sebagai najis. Bagi mereka yang selalu mengalami air liur sebegitu yang kerap mengalir jika tertidur, maka ia adalah najis yang dimaafkan dan boleh dibawa pakaian yang terkena air liur itu di dalam solat. Ini adalah kerana kelonggaran yang diberikan akibat daripada masalah tadi.

Di dalam kitab Hasyiah Baijuri ini juga ada dibahaskan berkenaan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada kekasih kita Nabi Muhammad SAW di mana baginda dihukumkan sebagai suci secara muktamad. Berlaku kisah para sahabat seperti Ummu Aiman iaitu jariah kepada Rasulullah SAW yang meminum air kencing baginda sehingga baginda menjamin perut Ummu Aiman akan selamat daripada api neraka.

Begitu juga berlaku kepada saidina Abu Thoibah dan Ibnu Zubair. Ibnu Zubair ketika kecil telah diminta oleh Rasulullah SAW untuk menanam darah bekam baginda ditempat yang tidak ada seorang pun yang dapat menemuinya. Lalu saidina Ibnu Zubair meminum darah bagainda itu. Maka, ketika ditanya oleh Rasulullah, saidina Ibnu Zubair menjawab telah ‘menanamnya di tempat yang tiada seorang pun dapat menjumpainya’. Lalu Rasulullah SAW bertanya adakah beliau telah meminumnya? Lalu Ibnu Zubair pun mengaku lantas Rasulullah SAW bersabda mafhumnya “sesiapa yang bercampur darahnya dengan darahku maka tidak akan disentuh sama sekali oleh api neraka”.

Perincian kepada ‘sesuatu yang keluar dari dua jalan’ adalah sesuatu yang keluar dari qubul atau dubur secara lazim atau jarang-jarang. Contoh yang keluar secara lazim adalah air kencing dan najis. Contoh bagi yang keluar secara jarang-jarang adalah darah dan nanah. Juga yang termasuk di dalam bahagian yang keluar secara jarang-jarang adalah air mazi dan air wadi.

Air mazi ditakrifkan sebagai air jernih lembut yang ketika keluarnya tidak merasa syahwat yang kuat manakala air wadi pula ditakrifkan sebagai air putih bersifat keruh dan tebal (pekat), yang keluar disebabkan membuang air kecil ataupun disebabkan mengangkat benda yang berat.

Satu-satunya cecair yang keluar dari qubul yang tidak dihukumkan najis adalah air mani. Ia bersifat tohir (bersih) pada zatnya. Adapun, disunatkan membasuhnya jika terkena pada anggota badan atau pakaian kita demi untuk keluar daripada khilaf (apabila berlaku khilaf, mengambil pendapat yang paling meraikan semua pendapat adalah disunatkan). Ini disebabkan terdapat juga pendapat yang menghukumkan air mani sebagai najis.

Air mani dihukumkan sebagai tohir termasuk air mani manusia dan binatang selain anjing dan khinzir serta binatang yang terhasil dari keduanya. Air mani binatang dihukumkan sebagai tohir juga adalah disebabkan asal hukum haiwan yang hidup sebagai tohir (seperti manusia juga bersifat tohir), maka hukum air maninya juga seperti hukum air mani manusia iaitu tohir.

Berkenaan hukum najis pada air mani anjing, khinzir dan binatang yang terhasil dari keduanya, apa yang dimaksudkan terhadap ‘binatang yang terhasil dari keduanya (anjing dan khinzir)’ adalah jika berlaku keadaan di mana kedua binatang tadi mengawan sesama mereka ataupun bersama binatang lain yang bukan mughallazoh, maka anak yang terhasil dari persenyawaan itu dihukumkan sebagai najis mughallazoh seperti hukum anjing dan khinzir juga.

Terkeluar daripada takrifan maie’ ini adalah ulat dan benda yang keras yang tidak berubah daripada proses penghadaman perut. Maknanya, jika keluar ulat, cacing atau benda keras (batu atau kayu) dari dua jalan (qubul dan dubur) kita, maka ia tidak dikira sebagi najis. Ia sekadar mutanajjis (benda yang terkena najis) dan akan menjadi tohur (suci yang tidak menyucikan) jika dibersihkan dengan air mutlak.

Adapun jika benda keras tersebut adalah berubah daripada pemprosesan perut seperti najis yang keras, maka ia tetaplah najis kerana setiap yang keluar dan ianya terhasil daripada proses penghadaman di perut, tetaplah dikira najis walaupun ianya keras.

Adapun berkenaan masalah benda keras yang keluar daripada salur kencing seperti batu bagi mereka yang mengidap penyakit batu karang, maka terdapat khilaf. Adapun, sesetengah pendapat mengatakan jika dikatakan oleh seorang doctor yang adil bahawa batu itu terhasil daripada air kencing, maka ia dikira sebagi najis. Jika batu itu terhasil dari perkara lain, maka ia adalah mutanajjis.

Antara contoh lain benda keras yang keluar dari dua jalan ini adalah biji buah dan telur daripada binatang yang bertelur. Semuanya ini tidak dihukum sebagai najis, tetapi mutanajjis (benda yang terkena najis) yang mana akan bersih jika dibasuh dan dicuci dengan air mutlak.

Di dalam hal ini, terdapat perbahasan berkenaan hukum telur ayam yang keluar dari perut ayam. Jika telur yang diambil dari perut ayam yang telah mati, maka telur itu tetap dikira tohir kecuali telur yang masih tidak diselaputi dengan cengkerang keras (telur yang sekadar membran nipis, tanpa cengkerang keras).

Adapun bagi telur yang diambil dari ayam yang masih hidup, telur itu dihukumkan sebagai tohir walaupun masih tidak diselaputi cengkerang. Namun, bagi telur yang sudah berubah menjadi darah (tidak lagi seperti telur biasa, telur yang mula bertukar menjadi janin), maka pendapat yang aula adalah dihukumkan telur itu sebagai najis.

Berkenaan masalah adakah telur yang keluar dari perut ayam itu perlu dibasuh atau tidak sebelum digunakan, maka hukumnya adalah tidak perlu dibasuh jika tidak terdapat kesan najis pada kulit telur tersebut. Adapun, jika ada kesan najis, maka wajib mencucinya sebelum digunakan.

Perbahasan terakhir yang ingin saya bincangkan adalah berkenaan apa yang dikatakan di dalam perkara yang terkeluar daripada takrifan maie’ tadi iaitu ‘tidak berubah daripada proses penghadaman perut’. Apa yang dimaksudkan di sini adalah setiap perkara yang berubah daripada proses penghadaman perut adalah dihukumkan sebagai najis iaitu najis mutawassitah.

Maka, boleh disimpulkan di sini, apabila terkeluar sahaja segala maie’ yang terhasil daripada proses penghadaman di dalam perut manusia seperti najis, air kencing atau pun muntah, ia dihukumkan sebagai najis mutawassitah. Malah, disebutkan di dalam kitab Hasyiah Baijuri ini, jika kita termakan daging khinzir sekalipun, maka najis yang terhasil daripada daging itu tetap dikira sebagai najis mutawassitah dan jika terkena pada pakaian kita, tidak perlu membasuhnya dengan tujuh kali basuhan, cukup sekadar basuhan biasa sahaja. Ini adalah kerana, daging khinzir yang dihukumkan najis mughallazoh ini, apabila diproses di dalam perut, maka ia telah bertukar kepada najis dan hukumnya juga seperti najis lain iaitu najis mutawassitah.

Adapun, jika seseorang itu termakan tulang khinzir, ataupun apa jua daripada bahagian angota badan haiwan mughallazoh, maka apabila keluar dari duburnya dengan tidak berubah sifat dan keadaan asal tulang atau anggota itu, hukumnya ditetapkan seperti hukum asalnya itu iaitu najis mughallazoh. Jika terkena ia pada pakaian kita, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan seperti basuhan najis mughallazoh yang lain.

Sekian dahulu buat kali ini. Moga diberi kesempatan masa oleh Allah untuk berkongsi lagi ilmu pada masa akan datang.

والله أعلم , وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم


Mohd Azrul Azuan bin Idris
7.15 pm, 26 Mac 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Read more...

Wednesday, 10 March 2010

Minhaj At Tholibin : Kitab At Thoharah (كتاب الطهارة) – Air Mutlak


قال المصنف والشارح والمحشي رحم الله تعالى ونفعنا به وبعلومه وبعلوم مشائخنل في الدارين أمين

Assalamualaikum. Saya membuat keputusan untuk menulis juga ringkasan kefahaman yang saya dapat daripada pengajian kitab Minhaj At Tholibin karangan Imam Muhyiddin An Nawawi yang diajar oleh Maulana Syeikhuna Sayyid Syaltut Hafizahullah. Kitab ini baru dimulakan pengajiannya pada penghujung Oktober 2009. Ketika itu saya masih bercuti di Malaysia dan hanya dapat mengikuti pengajian ini ketika sudah tiba di penghujung bab Asbab Al Hadas.

Saya cuba mengulas dan menulis kefahaman saya terhadap pengajian kitab ini dari bab pertama iaitu bab at thoharah (kebersihan) dengan berbekalkan kefahaman saya di dalam pengajian kitab fiqh lain bersama guru yang lain disamping merujuk kepada kitab muktabar lain seperti kitab syarah kepada matan Minhaj At Tholibin iaitu Mughni Muhtaj karangan Imam Syamsuddin Muhammad Al Syarbini, kitab Al Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu karangan Syeikh Dr. Wahbah Al Zuhaili dan juga beberapa kitab lain.

Semoga apa yang saya coretkan berdasarkan kefahaman yang betul. Jika terdapat kesalahan, amatlah dialu-alukan kepada para sahabat untuk menegur dan memperbetulkan kesalahan itu. Jazakumullah.

Kitab At Thoharah

Dalil utama dari Al Quran yang disebut di dalam kitab Minhaj At Tholibin adalah firman Allah di dalam surah Al Furqan ayat ke 48 “ وأنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا” bermaksud “dan Kami turunkan dari langit air yang sangat bersih” (1). Menurut kitab tafsif Al Jami’u Li Ahkamul Quran, kalimah ماء طهورا bermaksud air suci yang digunakannya untuk bersuci (2).

Seperti mana disebut ‘Al Wadhu’ dari kalimah ‘Al Wudhu’, apabila dibariskan huruf و dengan baris atas, maka maknanya bertukar daripada ‘wudhu’ iaitu perbuatan menghilangkan hadas kecil kepada ‘Wadhu’ iaitu alat untuk berwudhu iaitu air.

Begitu juga dengan kalimah طهور , apabila dibariskan hadapan maka akan berbunyi ‘tuhur’ yang bermaksud suci lagi menyucikan. Manakala apabila ditukarkan kepada baris atas maka berbunyi ‘tahur’ yang bermaksud alat untuk menyucikan. Apabila kalimah ماء yang disebutkan di dalam ayat tadi disifatkan dengan ‘alat menyucikan’, maka maksud air yang disebutkan di situ adalah air untuk menyucikan.

Air Mutlak

Telah disyaratkan bagi sesiapa yang ingin menghilangkan hadas dan najis, maka wajib menggunakan air mutlak yang bersifat suci dan menyucikan. Dari sudut makna air mutlak, ia adalah apa yang dinamakan air tanpa dikaitkan dengan sebarang nama lain. Pengertian air di dalam bahasa Melayu agak berbeza dengan pengertian ‘al maa’ di dalam bahasa Arab.

Air di dalam bahasa melayu digunakan kepada semua jenis air termasuk air minuman, air najis, air basuhan, dan sebagainya. Dengan kata lain, di dalam bahasa Melayu, perkataan ‘air’ itu masih tidak melambangkan air mutlak. Ini kerana perkataan ‘air’ itu perlu dikaitkan dengan perkataan air sebagai cara untuk mengenal pasti jenis sesuatu yang bersifat cecair. Seperti air teh, air tebu, air laut, air paip, air masak dan sebagainya.

Berbeza dengan bahasa Arab, apabila disebut kalimah ‘al maa’ maka ia terus membawa maksud ‘air mutlak’. Kalimah ‘al maa’ di dalam bahasa Arab tidak perlu dikaitkan dengan kalimah lain bagi mengenal pasti jenis cecair itu. Seperti air teh, tidak perlu disebut ‘al maau syai’ kerana kalimah ‘syai’ itu sendiri sudah bermaksud ‘air teh’. Begitu juga dengan air buah, tidak perlu disebut ‘al maau ‘asir’ kerana kalimah ‘asir itu sendiri sudah bermaksud ‘air buah’.

Maka, kesimpulannya air mutlak di dalam bahasa Arab adalah apa yang diletakkan ke atasnya nama ‘al maa’ tanpa qaid. Ini bermaksud, jika disebut ‘al maa’ secara tunggal, maka itulah yang dinamakan sebagai air mutlak.

Jika berlaku perubahan ataupun campuran di antara air dan cecair lain hinggakan ia menghalang untuk dikenali sebagai ‘al maa’ seperti za’faran (air yang telah bercampur dengan cecair za’faran yang menukarkan sifat iaitu warna air kepada kuning), maka ia tidak lagi dikatakan air mutlak, tetapi ia adalah air suci yang tidak menyucikan. Perubahan yang dimaksudkan di sini adalah perubahan dari sudut 3 sifat iaitu bau, rasa dan warna.

Perubahan Yang Tidak Memudharatkan

Namun, ada juga perubahan yang tidak menyebabkan hilang martabat ‘air mutlak’ ke atas sesuatu air. Perubahan yang dimaksudkan adalah yang pertama, perubahan yang mengekalkan dan tidak menghalang untuk dikenali sebagai ‘al maa’.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah jika termasuk sesuatu cecair lain yang tohir (suci tetapi tidak menyucikan) dan berlaku perubahan dengan kadar yang sedikit ataupun kita sekadar mengesyaki perubahan itu samada sedikit atau banyak, maka tidak hilang martabat ‘air mutlak’ itu. Namun jika kita memang tahu perubahan itu banyak, maka tidak boleh bersuci dengannya kerana ia telah berubah kepada air yang tohur (suci tetapi tidak menyucikan) dan telah terhalangnya ia daripada dikenali sebagai ‘al maa’(3).

Perubahan kedua yang tidak menggugurkan martabat air mutlak adalah perubahan yang disebabkan terlalu lama disimpan. Contohnya air di dalam perigi lama yang sudah ditinggalkan di mana airnya masih tidak tercemar dengan najis yang mengubah air itu. Air perigi itu pastinya berubah dari sudut warna dan baunya, namun tetap dikira air mutlak kerana perubahan itu hanya disebabkan lama disimpan.

Perubahan ketiga adalah perubahan disebabkan tanah dan rumpai (alga) yang tumbuh. Contohnya air tasik yang berubah warnanya oleh tanah dan rumpai di dalamnya. Perubahan keempat, perubahan disebabkan bekas simpanan air itu dan juga tempat laluan air. Ini selalu berlaku kepada kita seperti air yang melalui salur paip yang berkarat, juga air yang berubah warna disebabkan tangki air yang usang, maka perubahan ini juga tidak menjejaskan martabat air mutlak padanya.

Perubahan kelima adalah air yang berubah disebabkan jatuh ke dalamnya sesuatu yang mujawir (sesuatu yang tidak larut, boleh dikeluarkan semula), seperti ranting kayu, minyak dan tanah yang dilemparkan ke dalamnya. Sebagai contoh, jatuhnya buah mangga ke dalam sebaldi air. Jika dikeluarkan buah mangga itu, air itu tetap dapat digunakan untuk bersuci walaupun terkesan bau buah mangga itu terhadap air.

Maka, perubahan ini juga tidak memberi kesan terhadap sifat air mutlak. Cuma, terdapat syarat khusus terhadap sesuatu yang asalnya tidak larut, tetapi boleh larut dan memberi perubahan yang banyak terhadap air jika dibiarkan lama seperti buah-buahan.

Contohnya buah yang jatuh itu masih tidak rosak yang boleh memberi kesan perubahan yang banyak terhadap air, maka air itu masih bergelar air mutlak. Namun, jika memberi kesan perubahan yang banyak (seperti buah yang sudah lembik dan pecah), maka akan gugurlah martabat air mutlak padanya. Namun, keadaan ini tidak termasuk daun atau ranting kayu yang jatuh ke dalam air dan mereput. Ini kerana daun dan ranting yang mereput tidak memberi kesan perubahan yang banyak ke atas air itu dan kebiasaannya akan mendak ke bawah permukaan air.

Perubahan seterusnya yang juga masih boleh digunakan air itu untuk bersuci namun makruh hukumnya, iaitu air yang terkena pancaran matahari (air musyammas). Terdapat perbahasan panjang berkenaan air musyammas ini yang akan saya ulas di dalam coretan akan datang. Semoga sedikit usaha ini diberkati Allah. Wassalam.

والله أعلم , وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم

Hamba kepada Allah dan ilmuNya
10.24 am, 10 Mac 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

(1) Al Quran Al Karim Wa Tarjamah keluaran Khazanah Rabbani Publisher, m/s 364
(2) Kitab Al Jami’u Li Ahkamul Quran karangan Imam Al Qurtubi, cetakan Darul Hadith, jilid 7, m/s 39
(3) Kitab Mughni Al Muhtaj karangan Imam Syamsuddin Muhammad Al Syarbini, cetakan Darul Hadith, jilid 1, bab Kitab Thoharah, m/s 78

Read more...

Saturday, 6 March 2010

Hasyiah Baijuri (Kitab Ahkam Taharah) : Takrif Najis


قال المصنف والشارح والمحشي رحم الله تعالى ونفعنا به وبعلومه وبعلوم مشائخنا في الدارين أمين

Alhamdulillah, dapat luangkan masa untuk mengulang kaji pada malam ini. Saya mulakan post pertama dalam blog ini untuk berkongsi berkenaan apa yang diajar oleh Maulana Syeikh Ahmad Al Hajain di dalam kitab Hasyiah Imam Ibrahim Al Baijuri.

Kitab ini merupakan kitab syarah (hasyiah) kepada Fathu Qorib karangan Imam Abi Abdullah Syamsuddin bin Muhammad Al Ghuzzah. Manakala kitab Fathu Qorib juga merupakan kitab syarah kepada Matan Abi Syuja’, karangan Imam Abi Syuja’ Ahmad bin Hussein Al Ashfahani.

Ketika ini, syeikh sedang mengajar bab berkenaan hukum bangkai haiwan. Adapun saya mulakan coretan ini dari mula bab ini iaitu dimulakan dengan takrif dan pengertian najis.

Najis (النجاسة) dari sudut bahasa adalah “sesuatu yang menjijikkan”. Maka dari takrif ini, dapat kita fahami najis menurut bahasa Arab bermaksud apa jua yang menjijikkan walaupun ianya bersih seperti tahi telinga, kudis, lumpur, air mani dan sebagainya, sedangkan dari sudut syarak, ianya tidaklah dihukumkan sebagai najis.

Dari sudut takrifan syarak pula, Imam Ibarahim Al Baijuri mengatakan bahawa najis bermaksud “perkara yang menjijikkan yang menghalang daripada sahnya solat dari sudut ia bukannya rukhsah”. Rukhsah yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang dalam keadaan bernajis, tetapi tetap wajib menunaikan solat sebagai tanda hormat waktu. Maka dalam keadaan ini, tetap sah solat hormat waktu itu walaupun masih dalam keadaan bernajis.

Sebagai contoh, orang yang terperangkap di dalam satu bilik dan dia sedang menanggung najis. Padanya tidak ada air, batu atau tanah untuk bersuci. Maka dia tetap diwajibkan solat ketika masuk waktu solat tetapi sekadar solat untuk menghormati waktu dan wajib baginya mengulang semula solat itu apabila sudah mendapat air dan boleh membuang najis itu.

Takrifan syarak lain seperti yang terdapat pada matan Fathu Qorib adalah “setiap sesuatu yang kelihatan (عين) yang diharamkan untuk memakan atau meminumnya (تناولها) secara mutlak di dalam keadaan masih ada pilihan (tidak darurat, masih ada yang halal) dan mudah untuk membezakannya (mudah untuk mengenal sesuatu najis itu), ianya tidaklah diharamkan makan kerana ia dimuliakan, dan tidak diharamkan kerana menjijikkan dan juga tidak diharamkan kerana memberi darurat kepada badan dan akal”

Bila disebut “sesuatu yang kelihatan (عين) “, terkeluar darinya benda yang tidak kelihatan seperti angin. Maka jika angin keluar dari dubur (kentut), ia tidaklah najis dan tidak perlu dibasuh pakaian yang dipakai itu melainkan angin itu keluar bersama najis yang lain. Sifat kentut yang membatalkan wudhu bukanlah kerana ianya najis, tetapi kerana ianya keluar dari dubur (antara perkara yang membatalkan wudhu adalah keluar sesuatu dari qubul atau dubur walaupun angin)

“Secara mutlak” yang disebut itu sebagai menerangkan bahawa tidak kira ianya banyak atau sedikit, asalkan terdapat sahaja apa jua perkara yang diharamkan makan secara mutlak (dan bersifat dengan sifat najis), banyak atau sedikit ia tetap dikira najis. Terkeluar daripada ini perkara yang dibolehkan makan secara sedikit, tetapi haram apabila dimakan dengan banyak seperti candu dan ubat bius. Ini semua boleh diambil jika sedikit tetapi haram jika banyak. Maka ini tidak termasuk di dalam najis kerana diharamkan makan tidak secara mutlak.

Contoh perkara yang diharamkan makan secara mutlak adalah air kencing. Tidak ada hukum yang mengatakan boleh diminum air kencing (kecuali keadaan darurat) jika sedikit dan haram jika banyak. Air kencing adalah sesuatu yang haram dimakan secara mutlak, tidak kira sedikit ataupun banyak.

“Keadaan masih ada pilihan” bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak ketika keadaan biasa, tidak ada darurat akan dihukumkan sebagai najis. Terkeluar darinya adalah keadaan darurat dan tiada pilihan. Sebagai contoh, khinzir adalah najis mughallazah dan diharamkan memakannya secara mutlak ketika keadaan biasa. Namun jika dalam keadaan darurat, ia diharuskan untuk dimakan demi menjaga kemaslahatan diri manusia.

Dengan ayat lebih mudah, sesuatu najis itu tetaplah dihukumkan najis walaupun diharuskan memakannya ketika darurat. Ini kerana ia asalnya haram dimakan dalam keadaan biasa disebabkan hukum najis yang ada padanya tetapi diharuskan makan ketika darurat. Diharuskan makan itu bukanlah disebabkan ianya tidak najis, tetapi disebabkan darurat dan akan timbul mudharat kepada diri jika tidak makan.

“Mudah untuk membezakan” adalah bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak dan ianya mudah untuk dibezakan atau mudah untuk disedari oleh pancaindera manusia akan dihukumkan sebagai najis. Sebagai contoh, bangkai ulat di dalam buah-buahan dari sudut hukum sebenar adalah najis dan ianya diharamkan memakannya secara mutlak jika mudah untuk dikesan dan disedari. Tetapi jika ianya sukar untuk disedari (mungkin disebabkan tidak perasan atau terlalu kecil dan tersembunyi), maka dibolehkan untuk memakannya.

Maka, dapat difahami di sini, boleh memakannya itu bukanlah disebabkan ianya tidak najis, tetapi disebabkan factor lain. Dengan ayat mudah, bangkai ulat buah itu tetap dihukumkan najis dan haram dimakan jika mudah untuk disedari oleh manusia. Adapun jika sukar disedari, ia tetap dihukum sebagai najis, tetapi boleh dimakan kerana tidak perasan atau tersembunyi.

“Tidak diharamkan kerana dimuliakan”, ini bermaksud sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak kerana ianya dimuliakan Allah (bukan kerana ianya najis), tidak ditakrifkan sebagai najis. Ada juga sesetengah perkara yang diharamkan makan, namun diharamkan itu bukanlah disebabkan ianya najis tetapi kerana ia suatu yang dimuliakan Allah hinggakan diharamkan untuk kita memakannya.

Contohnya, mayat manusia. Hukum mayat manusia adalah bersih dan tidak najis. Namun diharamkan makan kerana manusia dimuliakan Allah hinggakan menjadi haram jika kita memakan mayatnya. Jadi, diharamkan makan di sini bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi kerana ia dimuliakan Allah.

“Tidak diharamkan makan kerana menjijikkan”, ini bermaksud sesuatu yang haram dimakan secara mutlak kerana ianya menjijikkan (bukan kerana ianya najis), tidak termasuk di dalam pentakrifan najis. Ini adalah kerana diharamkan makan itu bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi ianya menjijikkan.

Sebagai contoh, air mani. Syarak menghukumkan air mani manusia sebagai suci kerana manusia berasal darinya. Namun, syarak menghukumkan haram memakan mani manusia kerana ianya menjijikkan. Maka, boleh difahami di sini hukum diharamkan memakan air mani manusia bukanlah disebabkan ianya najis, tetapi ianya menjijikkan.

“Tidak diharamkan makan kerana memberi mudharat kepada badan dan akal” bermaksud sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak disebabkan ianya boleh memberi mudarat kepada badan dan akal manusia tidak dihukumkan sebagai najis. Ini kerana diharamkan memakannya itu bukan factor ianya najis, tetapi kerana dengan memakannya akan memberi mudharat kepada manusia.

Sebagai contoh, batu dan kaca. Keduanya ini diharamkan makan oleh syarak kerana ianya memberi mudharat kepada manusia jika dimakan, bukanlah kerana ia najis. Maka sesuatu yang diharamkan makan secara mutlak bukan kerana ianya najis tetapi kerana ianya memberi mudharat kepada manusia, tidaklah dihukumkan sebagai najis.

Kesimpulannya, sesuatu itu dihukumkan najis jika ianya
1. Diharamkan makan secara mutlak
2. Diharamkan makan ketika keadaan biasa, tanpa darurat
3. Diharamkan makan ketika mudah untuk mengesannya
4. Diharamkan makan bukan kerana dimuliakan
5. Diharamkan makan bukan kerana menjijikkan
6. Diharamkan makan bukan kerana memberi mudharat kepada badan dan akal manusia

Sekian sahaja untuk kali ini. Jika terdapat kesalahan harap dibetulkan. Jazakumullah

والله أعلم , وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم

Read more...

Friday, 5 March 2010

Salam Pengenalan


Assalamualaikum

Alhamdulillah, berjaya juga menyiapkan layout untuk blog ketiga saya ini. Blog ketiga ini saya tubuhkan semata-mata sebagai pemaksa diri untuk mengulangkaji dengan lebih gigih segala ilmu yang diperolehi di dalam pengajian bersama para masyaikh Azhar yang dikasihi.

Satu masalah pada golongan yang bertalaqqi di Mesir ini adalah banyak pergi kelas pengajian, tetapi tidak mengulangkaji semula apa yang telah dipelajari menyebabkan segala ilmu yang diajar terutama yang tidak dapat difahami dengan baik akan hilang begitu sahaja.

Fenomena ini akan menyebabkan kita hanya membuang masa sedangkan ilmu yang sepatutnya kita perolehi itu boleh meningkatkan kefahaman kita di dalam ilmu Islami jika kita mempunyai mekanisme ataupun cara yang berkesan untuk mengulangkaji segala yang diajar oleh para masyaikh kita.

Di dalam proses pembelajaran, ada 3 proses yang wajib dilalui jika benar-benar ingin menjadi seorang yang faqih. Pertama, mendengar. Ini boleh diperolehi di dalam kelas pengajian dengan cara menumpukan segala perhatian kepada guru yang mengajar.

Kedua adalah bertanya. Ini boleh juga didapati di dalam kelas ataupun diluar kelas. Bertanya adalah kunci ilmu di mana segala yang kita tidak fahami akan menjadi jelas dan mudah diingati. Seseorang itu bertanya sebenarnya menandakan dia memahami apa yang diajar kepadanya. Jika tidak, masakan dia akan bertanya lanjut dari apa yang dia pelajari itu.

Ketiga adalah membaca. Ini perlu dilakukan samada sebelum atau selepas kelas. Membaca sebelum kelas adalah penting untuk kita mendapatkan gambaran awal berkenaan apa yang akan diajarkan oleh guru kita pada hari itu. Membaca semula selepas belajar akan mendalamkan lagi kefahaman kita berkenaan pelajaran itu jika digabungkan dengan proses pertama dan kedua tadi.

Maka, penubuhan blog ini adalah usaha untuk saya mempraktikkan ketiga-tiga proses di atas. Diharapkan dengan adanya blog ini, saya akan lebih menumpukan perhatian di dalam kelas pengajian, dapat bertanya kepada mereka yang faham berkenaan bab yang saya tidak memahaminya dengan baik dan yang paling penting, saya dapat mengulangkaji semula dan membaca apa yang telah dipelajari dengan lebih bersungguh-sungguh agar ilmu yang diperoleh itu lekat terus di hati, insyaAllah.

Blog ini saya khususkan untuk menulis dan berkongsi dengan para sahabat berkenaan apa yang saya perolehi dan fahami di dalam pengajian saya bersama para masyaikh Azhar mengikut kemampuan saya setelah memastikan apa yang saya fahami itu tepat dan bertepatan dengan maksud sebenar. Jika saya tersalah atau tersilap di dalam penulisan saya, amat diharapkan teguran dari para sahabat secara hikmah dan ilmiah.

Jutaan syukur kepada Allah di atas segala nikmat, juga selawat dan salam ke atas Kekasih Mulia, Muhammad Rasulullah SAW. Jutaan penghargaan kepada para masyaikh yang mencurahkan ilmu kepada saya iaitu Maulana Al 'Allamah Syeikh Ali Jumaah, Syeikh Ahmad Al Hajain, Syeikh Sayyid Syaltut, Syeikh Dr Yusri Al Hasani, Syeikh Dr Usamah Al Azhari, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh Mustafa Imarah, dan juga para masyaikh lain yang saya belum berkesempatan meneguk ilmu dari telaga ilmu beliau. Moga Allah membalas jasa mereka semua.


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
12.25 am, 6 Mac 2010
607, Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Read more...

Jadual Saya

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP